IPOH: Dua individu yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Kledang, Menglembu, berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh pasukan bomba tengah hari tadi.
Menurut hantaran Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, kedua-dua mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 49 tahun dan wanita berusia 46 tahun.
Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya tiba di lokasi pada jam 12.45 tengah hari dengan kekuatan tujuh anggota bersama jentera FRT, EMRS dan kenderaan pacuan empat roda (Hilux).
Komander Operasi, PBK II (TBK) Zulkifli bin Sabri melakukan penilaian awal sebelum operasi pencarian dilaksanakan menggunakan konsep LAST.
Pasukan kemudian bergerak melalui laluan luar jalan menggunakan kenderaan Hilux sebelum meneruskan pencarian ke lokasi terakhir yang dimaklumkan mangsa.
Kedua-dua pendaki berjaya ditemukan pada jam 2.10 petang, kira-kira 1.5 kilometer dari laluan luar jalan berkenaan.
Mangsa kemudian dibawa turun menggunakan kenderaan Hilux sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.37 petang.
JBPM Negeri Perak turut mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan, merancang perjalanan dan memastikan laluan pendakian diketahui sebelum memulakan aktiviti rekreasi di kawasan bukit serta hutan.-DRP
