KOTA KINABALU: Kerja pemasangan komponen menara sementara Emergency Restoration System (ERS) bagi memulihkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah diteruskan dengan pemasangan penambat kabel penahan bagi memastikan kestabilan struktur menara berkenaan.
Menurut hantaran Facebook rasmi Sabah Electricity Careline pada jam 5.45 petang, pasukan teknikal kini menjalankan kerja pemasangan penambat selepas kerja-kerja penggerudian selesai dilaksanakan.
Bagaimanapun, proses penggerudian mengambil masa lebih lama berikutan keadaan tanah di lokasi yang keras dan berbatu.
Dalam perkembangan sama, kerja pemasangan insulator serta kelengkapan di bahagian atas menara ERS turut dilaksanakan bagi mengoptimumkan tempoh kerja.
Sabah Electricity memaklumkan bahawa aspek keselamatan anggota kerja terus menjadi keutamaan meskipun usaha pemulihan perlu dipercepatkan.
Segala kepakaran dan usaha sedang digembleng bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur Sabah.
Sabah Electricity turut merakamkan penghargaan kepada pengguna atas kesabaran, sokongan dan doa sepanjang kerja-kerja pemulihan dilaksanakan.-DRP
