OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN & SALAM UNDONG
TAWAU: Pelaksanaan keseluruhan projek talian penghantaran elektrik Sabah Southern MADANI Link perlu dipercepat bagi mengelak kejadian gangguan bekalan elektrik berskala besar di Pantai Timur Sabah terus berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejadian yang berlaku buat kali kedua selepas insiden hampir sama pada September tahun lalu perlu dijadikan iktibar dalam memperkukuh sistem penghantaran bekalan elektrik di negeri ini.
Katanya, kebergantungan Pantai Timur Sabah kepada bekalan elektrik yang disalurkan menerusi grid Pantai Barat menyebabkan beberapa daerah terjejas setiap kali berlaku kerosakan pada talian penghantaran utama berkenaan.
“Saya juga berharap agar usaha kita untuk mempercepatkan pembinaan Southern Link sebagai satu lingkaran bekalan elektrik (di Sabah).
“Maknanya apabila berlaku (gangguan pada) grid Pantai Barat, Pantai Timur boleh bersandarkan atau bergantung kepada talian Southern Link,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Puncak Prestasi Sesi 2026 Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Empat, Jalan Apas, di sini, hari ini.
Nizam berkata, projek berkenaan sudah dimohon kerajaan Sabah sejak 15 tahun lalu, namun tidak mendapat keutamaan daripada kerajaan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, permohonan itu mendapat perhatian Kerajaan Madani dibawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kelulusan peruntukan awal bagi pelaksanaan fasa pertama membabitkan laluan sepanjang kira-kira 60 kilometer (km) yang menghubungkan Sipitang dengan Ulu Padas.
“Namun, kita berharap fasa-fasa seterusnya akan sampailah ke Tawau dan dapatlah dijalankan dengan sebaiknya, dengan secepat mungkin supaya Sabah tidak akan lagi mengalami masalah gangguan elektrik bila berlaku musibah tanah runtuh, banjir dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam turut meminta Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap semua menara penghantaran elektrik, khususnya yang terletak di kawasan tanah tinggi bagi mengelak kejadian sama berulang.
Beliau berkata, syarikat utiliti itu juga perlu bertindak lebih pantas dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat setiap kali berlaku gangguan bekalan elektrik bagi mengelak timbulnya pelbagai andaian yang tidak tepat.
Katanya, gangguan bekalan elektrik bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian penduduk, malah memberi kesan kepada golongan peniaga, pelajar tsrmasuk urusan pentadbiran pejabat.
Sementara itu, Nizam turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan Program Solar Rakyat yang dilancarkan tahun ini dengan memasang sistem solar di kediaman masing-masing, sekali gus menyokong usaha ke arah kelestarian tenaga.
“Walaupun mungkin ada kos yang terlibat, tetapi saya difahamkan banyak institusi perbankan seperti Sabah Credit menawarkan pinjaman kerana pada ketika ini seluruh dunia menuju ke arah tenaga hijau.
“Apabila kita memasang solar rakyat ini di kediaman kita, ia juga akan memberi penjimatan kepada bil yang terpaksa kita bayar setiap bulan,” katanya.
Khamis lalu, sebanyak 153,599 pengguna berdaftar di lapan daerah terjejas selepas menara penghantaran elektrik T313 di Kampung Sagindai, Jalan Ranau-Telupid, tumbang sehingga menyebabkan dua litar talian penghantaran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah terputus.
Sabah Electricity kini melaksanakan pemulihan bekalan elektrik secara berperingkat termasuk menerusi kaedah penggiliran bekalan kepada pengguna dengan sasaran pemulihan penuh sistem grid menjelang 2 Disember ini.-DRP
