KUCHING: Seorang lelaki berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 40 tahun dan 15 sebatan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan amang seksual terhadap tiga anak perempuan kandungnya sendiri.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa terdiri daripada tiga beradik berusia 19, 15 dan 14 tahun, manakala kes berkenaan dilaporkan kepada polis pada 23 November 2026.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek yang juga bapa kandung mangsa dipercayai melakukan perbuatan itu secara berulang dalam tempoh beberapa tahun.
Lelaki terbabit didakwa di Mahkamah Kuching pada 27 November 2026 atas tiga pertuduhan, masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman keseluruhan 40 tahun penjara dan 15 sebatan, dengan semua hukuman diperintahkan berjalan secara berasingan.
“Pihak polis memandang serius jenayah seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan ahli keluarga sendiri,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak serta segera melaporkan kepada polis sekiranya mengesyaki sebarang bentuk penderaan seksual.-DRP
