PADANG BESAR: Seramai 11 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis dalam operasi penguatkuasaan OPS HIJAU di sebuah ladang tanaman tembikai di Padang Besar, pada 26 November lalu.
Menurut hantaran Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis, operasi yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JIM Perlis itu menyaksikan 17 individu diperiksa, terdiri daripada enam warganegara Malaysia, 10 warga Indonesia dan seorang warga Nepal.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan sembilan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Nepal yang disyaki melakukan kesalahan imigresen.
Kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki pas atau permit yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam operasi sama, satu Notis Kehadiran ke Pejabat Imigresen (Borang 29) turut dikeluarkan kepada seorang warganegara Malaysia bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut JIM Perlis, OPS HIJAU merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen, khususnya bagi memastikan pematuhan peraturan penggajian pekerja asing dalam sektor pertanian.
“Majikan diingatkan supaya memastikan setiap pekerja asing yang digajikan memiliki dokumen dan pas yang sah serta bekerja mengikut syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
JIM Perlis turut menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen.-DRP
