KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu (MCOBA) memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan prinsip amanah, integriti dan keadilan terus menjadi asas dalam pentadbiran negara.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan MCOBA malam ini yang menemukan beliau dengan bekas rakan persekolahan serta sahabat lama dari Kolej Melayu Kuala Kangsar. Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh kepentingan amanah serta mengimbas beberapa isu tadbir urus yang pernah membelenggu negara, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), FELDA dan Tabung Haji.
Menurut beliau, penyalahgunaan kuasa bukan sahaja menjejaskan institusi, malah mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kesan kewangan yang besar apabila dana yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan sekolah dan hospital digunakan bagi menampung kerugian serta pembayaran hutang.
Anwar turut mengaitkan prinsip amanah dengan falsafah Fiat Sapientia Virtus yang menjadi warisan Kolej Melayu, selain mengingatkan pesanan Saidina Ali mengenai hubungan persaudaraan sesama manusia tanpa mengira agama.
Katanya, nilai karamah insaniah perlu menjadi landasan dalam penggunaan kuasa dan tanggungjawab yang diberikan, dengan memastikan setiap keputusan dibuat secara bijaksana demi menegakkan keadilan serta memelihara maruah manusia.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya MCOBA mengenal pasti wakil dalam kalangan alumninya bagi meneliti perancangan kerajaan serta mengemukakan pandangan, teguran dan kritikan melalui ruang yang akan disediakan.
Beliau mahu wakil berkenaan menyampaikan pandangan secara terbuka dan berterus terang, khususnya dalam mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki demi kepentingan pentadbiran dan negara.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan MCOBA serta semua sahabat yang hadir, sambil berharap hubungan persahabatan yang terjalin sejak zaman persekolahan dapat terus menjadi asas kepada budaya saling menasihati dan menegur secara ikhlas.
Malah, beliau menegaskan keterbukaan menerima teguran itu turut merangkumi dirinya sendiri sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki kelemahan dan memperkukuh amanah dalam kepimpinan. – DRP
