OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN & SALAM UNDONG
TAWAU: Hasrat menjadikan daerah ini sebagai tuan rumah kejohanan memanah tradisional bertaraf antarabangsa mendapat perhatian kerajaan negeri dalam usaha mengetengahkan bakat pemanah tempatan ke persada dunia.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya bersedia meneliti cadangan penganjuran kejohanan berkenaan yang sebelum ini disuarakan Persatuan Memanah Tradisi Tawau (PERMATA).
Beliau berkata, kejayaan seorang pemanah wanita dari Tawau meraih tempat ketiga dalam kejohanan memanah tradisional di Ulsan, Korea Selatan, baru-baru ini yang menghimpunkan peserta dari kira-kira 42 negara membuktikan atlet tempatan mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas dunia.
Katanya, kejayaan itu menunjukkan bahawa anak kelahiran Sabah juga mempunyai potensi yang besar mengharumkan nama negara.
“Yang penting ialah pendedahan di peringkat yang lebih luas lagi, yang lebih besar lagi termasuklah pertandingan-pertandingan seperti yang dianjurkan pada hari ini.
“Bagi pihak kementerian, kita akan meneliti segala cadangan yang akan dikembangkan nanti.
“Kalau ia dapat mempertingkat lagi prestasi pemain kita, yang boleh memperkenal lagi Sabah sebagai negeri yang banyak melahirkan pemanah-pemanah tradisi, saya rasa tidak ada alasan untuk kita juga mendukung dan menyokong supaya kita dapat menganjurkan pertandingan memanah tradisi bertaraf antarabangsa di negeri Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pertandingan Memanah Tradisi Piala NABT Terbuka Tawau, di sini, hari ini.
Sementara itu, Nizam menyambut baik penganjuran pertandingan berkenaan oleh PERMATA yang mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan pemanah dari seluruh Sabah termasuk Semenanjung Malaysia.
Jelasnya, penganjuran pertandingan seumpama itu memberi peluang kepada pemanah tempatan menguji kemampuan masing-masing dengan bersaing bersama peserta dari luar daerah dan negeri.
“Saya berharap matlamat penganjuran pertandingan memanah tradisi Piala NABT Terbuka Tawau ini akan tercapai dan akan menarik lebih ramai lagi peminat-peminat di luar sana untuk menceburkan diri dalam sukan memanah tradisional,” katanya. – DRP
