Editorial
KUALA LUMPUR: Dua himpunan berasingan di sekitar ibu negara pada Sabtu berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal meskipun berlaku pertembungan antara peserta kedua-dua kumpulan di hadapan bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Haji Ahmad Azwan Haji Amin Nordin berkata, kedua-dua himpunan itu berlangsung pada semalam, masing-masing di Kompleks SOGO dan di hadapan bangunan KDN.
Beliau berkata, himpunan di Kompleks SOGO dianjurkan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), manakala himpunan di hadapan bangunan KDN dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA).
Menurutnya, peserta himpunan di SOGO mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka pada jam 2.30 petang sebelum kedua-dua kumpulan bertembung di hadapan bangunan KDN sekitar jam 3.10 hingga 3.20 petang.
“Semasa pertembungan kedua-dua kumpulan, keadaan dilihat agak tegang, namun berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak PDRM melalui tindakan kawalan keselamatan yang sewajarnya.
“Tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 28 November.
Beliau berkata, himpunan di hadapan bangunan KDN selesai pada jam 3.55 petang, manakala kumpulan di SOGO menamatkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada jam 4.30 petang.
Sepanjang kedua-dua himpunan berlangsung, seramai 16 wakil peserta menyampaikan ucapan, masing-masing sembilan daripada kumpulan SOGO dan tujuh daripada kumpulan KDN.
Jumlah keseluruhan peserta dianggarkan seramai 140 orang, membabitkan 60 peserta di hadapan SOGO dan 80 peserta di hadapan KDN.
Ahmad Azwan berkata, pihak polis turut mengatur gerak seramai 129 anggota dan pegawai bagi pelaksanaan Op Aman, terdiri daripada 19 Pegawai Kanan Polis (PKP) dan 110 Pegawai Rendah Polis (PRP).
Penugasan itu membabitkan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan bantuan kekuatan anggota KL Strike Force.
Katanya, pihak polis telah menerima notis pemakluman daripada kedua-dua pihak penganjur sebelum himpunan berlangsung, masing-masing pada 26 dan 27 November lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, peserta serta orang ramai atas kerjasama yang diberikan sehingga kedua-dua himpunan dapat berlangsung dengan aman dan lancar.- DRP
