LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) bagi membawa seorang lelaki berusia 48 tahun yang berada dalam keadaan kritikal dari Langkawi ke Kuala Perlis, awal pagi tadi.
Operasi yang dilaksanakan menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis itu susulan permohonan bantuan Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi selepas pesakit berkenaan mengalami pendarahan akut di bahagian otak dan memerlukan rawatan segera serta pemantauan rapi di hospital pakar.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Bot Penyelamat 5 digerakkan bagi membawa pesakit dari Jeti Operasi Maritim, Langkawi ke Jeti Feri Kuala Perlis.
Beliau berkata, pemindahan itu turut melibatkan tiga petugas perubatan dan seorang waris yang mengiringi pesakit sepanjang perjalanan sebelum pesakit dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menerima rawatan lanjut.
Sepanjang operasi berkenaan, keadaan pesakit dipantau secara berterusan oleh petugas perubatan bagi memastikan tindakan kecemasan dapat diberikan sekiranya diperlukan.
Keupayaan Maritim Malaysia menggerakkan aset laut dalam operasi MEDEVAC itu memperlihatkan kepentingan kesiapsiagaan agensi berkenaan, khususnya dalam membantu penduduk pulau yang memerlukan akses segera kepada kemudahan rawatan di tanah besar.
Selain menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di perairan negara serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), Maritim Malaysia turut memainkan peranan membantu masyarakat maritim ketika berdepan situasi kecemasan. – DRP
