YOGYAKARTA: Kerjasama industri perfileman dan animasi antara Malaysia dan Indonesia terus diperkasakan menerusi penyertaan dalam JAFF Market 2026 yang membuka peluang kepada penerbit kedua-dua negara meneroka potensi projek kreatif serta kerjasama strategik baharu.
Menurut hantaran Facebook Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pihaknya telah mengadakan sesi ramah mesra bersama peserta JAFF Market 2026 pada 28 November lalu yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif JAFF Market merangkap Pengarah Festival JAFF, Ifa Isfansyah.
Sesi berkenaan turut menghimpunkan peserta JAFF Future Project, syarikat penerbitan, pengedar, wakil penyiar, penyedia perkhidmatan penstriman serta pelabur antarabangsa bagi membuka ruang pertukaran pandangan dan penerokaan peluang pembangunan projek bersama.
Dalam sesi itu, Rumah Karya Citra mengumumkan penerbitan filem berjudul Langit Dua Warna yang menampilkan dua pelakon terkenal Indonesia, Reza Rahadian dan Christine Hakim.
Wakil Global Film Station dan Kapsul Studio turut berkongsi pengalaman serta penglibatan syarikat masing-masing sepanjang JAFF Market 2026.
Sementara itu, dalam sesi berasingan, Bawah Tanah Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik dengan LUMINEX, sebuah syarikat pembangunan harta intelek (IP) yang berpangkalan di Indonesia bagi menerbitkan siri animasi Kisah Bawah Tanah.
Perkembangan itu turut menyaksikan Bawah Tanah Sdn Bhd, Astro Shaw, Komet Productions dan Animasia Studio secara rasmi mengumumkan penerbitan versi filem animasi berkenaan yang diberi judul Kisah Bawah Tanah: The Movie.
Kerjasama berkenaan mencerminkan potensi industri kreatif Malaysia dan Indonesia untuk memperluas penghasilan kandungan tempatan ke pasaran serantau serta antarabangsa menerusi perkongsian kepakaran, idea dan sumber penerbitan. – DRP
