Oleh: Bazli Razak
KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengungguli kategori Anugerah Pengurusan Krisis apabila meraih Anugerah Emas menerusi kempen “When Every Word Mattered: Turning Tragedy Into Trust Through Compassionate Crisis Communication” pada Majlis Malaysia Public Relations Awards (MPRA) 2026 yang berlangsung di Aloft Hotel KL Sentral, semalam.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, pengiktirafan berprestij anjuran Public Relations & Communications Associations of Malaysia itu diberikan menerusi inisiatif Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) UPSI yang mengetengahkan pendekatan komunikasi krisis secara strategik, pantas dan berteraskan kemanusiaan susulan tragedi kemalangan bas yang dinaiki penuntut universiti itu di Gerik, Perak pada 9 Jun 2025.
Md Amin berkata, kempen berkenaan memperlihatkan bagaimana komunikasi korporat berperanan bukan sekadar menyampaikan maklumat ketika krisis, malah memastikan kebajikan dan maruah mangsa serta keluarga diutamakan, di samping mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi.
“Kejayaan itu mencerminkan profesionalisme, komitmen dan keupayaan warga BKK dalam menguruskan komunikasi universiti, khususnya ketika berhadapan situasi mencabar yang memerlukan ketepatan maklumat serta kepekaan terhadap aspek kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tragedi berkenaan menjadi peringatan bahawa komunikasi dalam situasi krisis bukan sekadar menyampaikan perkembangan semasa, sebaliknya turut membawa tanggungjawab besar dalam memberikan keyakinan kepada keluarga mangsa dan masyarakat.
“Dalam situasi krisis, setiap perkataan yang disampaikan membawa makna dan tanggungjawab yang besar. Keutamaan kita bukan sekadar memastikan maklumat sampai dengan pantas, tetapi memastikan setiap kenyataan berasaskan fakta, disampaikan dengan penuh empati dan mengambil kira perasaan keluarga serta mangsa yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah BKK UPSI, Dr. Nur Safinas Albakry yang mengetuai kumpulan kempen berkenaan berkata, antara cabaran terbesar ketika menguruskan komunikasi tragedi itu ialah memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat kekal tepat dan konsisten ketika situasi masih berkembang.
Menurutnya, pendekatan komunikasi yang digunakan berteraskan empat prinsip S.A.F.E. iaitu Speed, Accuracy, Families First dan Engagement bagi memastikan penyampaian maklumat dilaksanakan secara pantas, tepat, mengutamakan keluarga mangsa serta melibatkan penyelarasan berterusan dengan pihak berkepentingan.
Susulan insiden yang berlaku pada 2 pagi itu, BKK mengaktifkan Bilik Gerakan Krisis pada 7 pagi sebelum kenyataan rasmi pertama dikeluarkan pada 9 pagi bagi memastikan penyampaian maklumat kepada keluarga, warga universiti dan masyarakat dapat diselaraskan melalui saluran rasmi.
Sepanjang tempoh 21 hari bermula 9 hingga 29 Jun 2025, sebanyak 59 hantaran berkaitan krisis diterbitkan menerusi platform media sosial rasmi UPSI, merekodkan 3.35 juta tontonan dan capaian keseluruhan sebanyak 2.07 juta.
“Pemantauan media turut merekodkan sebanyak 208 laporan berita menerusi lapan platform berita utama negara, sekali gus memperlihatkan perhatian meluas media terhadap perkembangan tragedi berkenaan dan usaha universiti dalam menguruskan situasi tersebut,” katanya.
