SEMPORNA, 29 November 2026 – Penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) Markas Angkatan Tugas Bersama 2 Tahun 2026 mencerminkan usaha berterusan memperkukuh hubungan kerjasama antara agensi keselamatan, pihak ketenteraan dan masyarakat setempat.
Program yang berlangsung di Padang Pekan, Semporna itu turut disertai Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Megat Maz Ardi Haji Nohuddin, Pegawai Daerah Semporna, Mas Syazwan Datuk Haji Masood serta Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah. Turut hadir wakil pelbagai jabatan, agensi keselamatan dan komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memeriahkan program berkenaan, termasuk demonstrasi tempur tanpa senjata, persembahan kawad senyap KD Semporna dan persembahan tarian tradisional Igal-Igal.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran yang disediakan oleh pelbagai jabatan dan agensi, sekali gus memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat peranan serta tanggungjawab setiap agensi terlibat.
Menurut Polis Daerah Semporna menerusi kenyataan di Facebook, penyertaan PDRM melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dalam program berkenaan menggambarkan komitmen pasukan itu untuk terus mempererat hubungan strategik bersama pihak ketenteraan dan komuniti.
Kerjasama sedemikian penting dalam menyokong usaha mengekalkan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya melalui hubungan erat antara agensi penguatkuasaan dengan penduduk setempat.
Program CIMIC itu turut menjadi ruang interaksi antara pihak keselamatan dan masyarakat dalam memupuk persefahaman serta semangat kerjasama demi kepentingan bersama. – DRP
