KOTA KINABALU: Seramai 25 graduan sulung Program Sarjana Muda Sains Kejururawatan dengan Kepujian, Universiti Malaysia Sabah (UMS), mencipta pencapaian membanggakan apabila kesemua mereka berjaya melepasi Peperiksaan Profesional Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) bagi tahun 2026.
Menurut kenyataan UMS, kejayaan itu turut melakar sejarah apabila kumpulan berkenaan menjadi graduan pertama program kejururawatan universiti itu yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-28.
Kohort yang mula mengikuti pengajian pada 2022 itu terdiri daripada 23 graduan wanita dan dua lelaki, dengan 22 daripadanya berasal dari Sabah manakala tiga lagi dari Sarawak.
Lebih istimewa, 80 peratus daripada keseluruhan graduan berkenaan datang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), sekali gus memperlihatkan sumbangan pendidikan tinggi dalam membuka ruang perubahan taraf kehidupan serta melahirkan tenaga kerja profesional sektor kesihatan.
Daripada jumlah itu, enam graduan turut mencatat kecemerlangan akademik apabila memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama.
Mereka ialah Andrea Roulind, Betcye Lee Lejuh @ Severinus, Gloria Sarah Ben, Rin Ashira Romzi, Siti Norsyafika Abdullah dan Nur Fatin Athira Abdul Manaf.
Pencapaian tersebut hadir selepas empat tahun menempuh pengajian yang merangkumi pembelajaran teori, latihan klinikal serta persediaan menghadapi tanggungjawab sebagai jururawat profesional.
Bagaimanapun, perjalanan akademik sebahagian graduan bukan tanpa dugaan apabila ada antara mereka terpaksa berdepan kehilangan ahli keluarga tersayang dan masalah kesihatan sepanjang tempoh pengajian.
Antaranya, Tonneyzey Anon @ Ajirin yang kehilangan ibu tercinta ketika berada di tahun akhir pengajian. Meskipun berdepan kehilangan besar itu, beliau tetap cekal meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazah.
Sementara itu, Siti Norsyafika turut membuktikan ketabahan apabila berjaya memperoleh Kepujian Kelas Pertama walaupun berhadapan cabaran kesihatan sepanjang tempoh pengajiannya.
Kejayaan kumpulan sulung itu turut memberi sumbangan kepada usaha memenuhi keperluan tenaga profesional kejururawatan, khususnya di Sabah yang mempunyai kawasan luar bandar dan pedalaman dengan cabaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Latar belakang graduan yang berasal dari Borneo juga dilihat sebagai kelebihan dalam memahami budaya, kehidupan serta keperluan masyarakat setempat, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada komuniti.
Naib Canselor UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, merakamkan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan itu dan berharap mereka terus membawa reputasi baik universiti ketika menjalankan amanah dalam bidang kejururawatan.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, profesionalisme dan nilai kemanusiaan ketika memberikan perkhidmatan kepada pesakit.
Menurutnya, setiap graduan perlu menggabungkan pengetahuan serta kemahiran profesional dengan sikap prihatin dan keikhlasan ketika menjalankan tugas, terutama dalam memberikan penjagaan kepada mereka yang memerlukan.
Kejayaan itu turut mencerminkan usaha Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS yang diterajui Dekannya, Profesor Madya Dr. Fairrul Masnah @ Kadir, dalam memastikan program kejururawatan memenuhi keperluan akademik serta piawaian profesional ditetapkan.
Pelaksanaan program berkenaan turut mendapat sokongan Ketua Jabatan Kejururawatan, Dr. Deena Clare Thomas, bersama barisan pensyarah, pengajar klinikal, kakitangan sokongan dan rakan strategik dalam sektor penjagaan kesihatan.
Dalam perkembangan berkaitan, UMS turut memperluas peluang pendidikan dalam bidang kejururawatan menerusi penawaran program Sarjana Kejururawatan dan Doktor Falsafah (PhD) Kejururawatan yang bermula pada September 2026.
Penawaran program pascasiswazah itu membuka laluan lebih luas untuk melahirkan tenaga pakar, pendidik dan penyelidik dalam bidang kejururawatan, sekali gus menyokong usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di Sabah.
Kejayaan 25 graduan sulung itu bukan sahaja menjadi pencapaian bersejarah kepada UMS, malah memperkukuh peranan institusi berkenaan dalam melahirkan lebih ramai tenaga profesional bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan negara. – DRP
