OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
BELURAN: Gangguan bekalan elektrik susulan menara penghantaran di Ranau tumbang mendorong seorang pemandu lori menjadikan halaman rumahnya sebagai tapak ‘percutian’ keluarga dengan berkhemah bagi mengurangkan ketidakselesaan akibat kepanasan pada waktu malam.
Awang Jamaluddin Abdul Rahman, 39, berkata, khemah yang didirikan sebagai tempat bermalam itu membolehkan keluarganya melupakan seketika kesulitan akibat gangguan bekalan elektrik sejak tiga malam lalu.
“Kami berkhemah kerana keadaan di dalam rumah panas. Jadi, kami mengambil kesempatan ketika tiada bekalan elektrik ini untuk berkhemah di halaman rumah bersama anak-anak.
“Sekurang-kurangnya dapatlah melupakan seketika penderitaan selepas dua malam berdepan kepanasan di rumah,” katanya kepada Dakwat Rakyat Post, hari ini.
Dia yang tinggal di Kampung Berkat Setia Beluran berkata, pengalaman berdepan gangguan bekalan elektrik berskala besar pada September tahun lalu turut mendorongnya memasang lampu solar di kediamannya.
Kemudahan itu membolehkan keluarganya mendapat pencahayaan pada waktu malam, meskipun penggunaan peralatan elektrik seperti mesin basuh, peti sejuk dan televisyen masih terjejas.
Menurutnya, bekalan elektrik di kediamannya sempat pulih selama kira-kira lapan jam, bermula jam 3 pagi hingga 11 pagi semalam, sebelum kembali terputus dan belum pulih sehingga hari ini.
Terdahulu, gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah berlaku susulan menara penghantaran T313 di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, Ranau tumbang pada Khamis lalu akibat hakisan tapak asas berikutan hujan berterusan dan arus deras sungai.
Sementara itu, usaha pemulihan menunjukkan perkembangan apabila Sabah Electricity memaklumkan struktur utama menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) selesai didirikan jam 1.45 petang, semalam.
Pasukan teknikal seterusnya melaksanakan pemasangan lengan silang dan komponen sokongan sebelum kerja pemasangan kabel penghantaran bagi memulihkan laluan bekalan yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur Sabah.
Sabah Electricity menyasarkan bekalan elektrik dapat dipulihkan 2 Disember ini atau lebih awal, dengan keselamatan petugas terus diberi keutamaan sepanjang kerja pemulihan. – DRP
