Sarifuddin (dua kanan) berdepan dengan tiga orang pencabarnya.
TAWAU: Sebanyak 29 calon daripada pelbagai parti politik termasuk calon Bebas sah bertanding bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kalabakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17 selepas proses penamaan calon selesai di Dewan SJK (C) Yuk Chin, Tawau, pagi tadi.
Proses penamaan calon yang bermula jam 9 pagi berlangsung lancar tanpa sebarang pencalonan ditolak, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Parlimen Kalabakan, Murad Abdul Rashid, mengumumkan senarai penuh calon pada jam 11.46 pagi.
Bagi DUN Kukusan, persaingan sengit tercetus apabila 10 calon tampil, termasuk penyandang Datuk Rina Jainal yang tampil sebagai calon Bebas untuk mempertahankan kerusinya.
Antara calon lain ialah Ab Rahman Yahya (STAR), Samsiah Usman (GRS), Chaya Sulaiman (BN), Mariani Sulaiman (Parti Anak Negeri), Razik Muyong (Parti Impian Sabah), Ishak Ismail (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Francis Lawrence @ Yusof (Perikatan Nasional), Ma’mun Sulaiman (WARISAN) dan calon Bebas, Hairul Amin Arif.
Di DUN Tanjung Batu, lima penjuru terbentuk melibatkan Ayuf Abdul Rahman (WARISAN), Ahmad Dullah (PN), Samasuddin Yusop (BN), Zanudin Mingo (Parti Impian Sabah) dan calon GRS, Dr. Andi Md Shamsulreezal Mohd Sainal (38). Kerusi ini menarik perhatian kerana penyandangnya tidak bertanding, membuka peluang kepada calon baharu.
DUN Merotai menyaksikan persaingan empat penjuru dengan penyandang Sarifuddin Hata (WARISAN) berdepan Rhyme @ Reymie Kassim (Parti Impian Sabah), Hasan Haris (PN) dan Datuk Ruji Ubi (Pakatan Harapan).
Bagi DUN Sebatik, perebutan kerusi paling hangat apabila 10 calon menawarkan diri. Penyandang Datuk Hassan A Gani Pg Amir (GRS) kembali mempertahankan kerusinya berdepan cabaran daripada Datuk Seri Sahran Untai (Parti Anak Negeri), Manahing Tinggilani @ Tanggilani (WARISAN), Husni Frans (Bebas), Suhurani Sammani (PN), Aslan Fadli Samsul Alang (BN), Datuk Kadri Amat (STAR), Abdul Gaib Aliaman (Parti Impian Sabah), Ismail Idris (Parti Rumpun Sabah) dan Abu Bakar Kumun (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga 28 November pukul 11.59 malam.
Hari pengundian pula ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal berlangsung pada 25 November.
Dengan jumlah 29 calon bertanding di empat kerusi, Parlimen Kalabakan muncul sebagai antara kawasan paling kompetitif dalam PRU17 Sabah, menampilkan persaingan sengit antara parti besar, parti tempatan serta calon Bebas bagi menarik sokongan pengundi.
