Ruji berjumpa dan beramah mesra dengan komuniti Cina.
Beliau berkata, keperluan terhadap kemudahan rekreasi semakin mendesak memandangkan anak muda di beberapa kawasan seperti Bombalai, Kijang, Kuala Merotai, Taman Semarak dan Hot Spring tidak mempunyai ruang riadah yang terancang.
“Belia-belia di Merotai dan sekitar kawasan lain sangat aktif, tetapi mereka tidak ada pusat rekreasi. Kalau di bandar Tawau ada kompleks sukan dan taman perumahan yang lengkap, tetapi di kawasan-kawasan ini tiada kemudahan riadah.
“Kalau diberi peluang dalam tempoh lima tahun, kita akan cuba wujudkan kawasan riadah untuk mereka. Ia bukan kos yang tinggi, yang penting ada kawasan lapang yang boleh dinaik taraf,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Walkabout di Pasar Hot Spring dan Pasar Sin Onn, semalam.
Mengulas kempen hariannya, Ruji berkata beliau melaksanakan sekurang-kurangnya 15 program setiap hari sebagai komitmen bertemu penduduk setempat, selain memperkenalkan dirinya sebagai calon PH.
“Sambutan sangat baik. Ada yang saya jumpa kali kedua, kali ketiga. Saya pesan kepada mereka beri sokongan jika mahu perubahan khususnya di Merotai dan Hot Spring,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan besar yang disalurkan kepada Sabah dan berharap momentum itu dapat diteruskan.
Dalam lawatannya itu, Ruji menerima beberapa aduan berkaitan infrastruktur dan telah meminta Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Hot Spring, untuk meneliti cadangan dan isu yang dibangkitkan.
“Ada aduan yang sudah lama tidak dibaiki. Turun ke bawah ini penting supaya kita kenal pasti isu dan cuba selesaikan dengan pihak berkuasa,” katanya.
Ruji turut menyatakan hasrat untuk mentransformasikan pekan Merotai sebagai bandar baharu sekiranya diberikan kepercayaan.
“Tujuan saya bertanding adalah untuk berkongsi pengalaman dan ilmu semasa saya menjadi ketua di kementerian. Saya mahu Merotai berkembang sebagai pekan baharu yang lebih tersusun,” katanya.
Katanya, usaha itu penting untuk memberi ruang aktiviti sihat kepada anak muda dan meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.
