Graduation
Oleh : Faezah dan Raud
Isu cadangan pelaksanaan pendidikan percuma di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), khususnya bagi anak-anak Sabah, kembali menjadi perdebatan apabila timbul persoalan tentang sejauh mana kerajaan benar-benar mengambil berat terhadap nasib pendidikan generasi muda di negeri ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa ramai anak Sabah memiliki keinginan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, namun hasrat tersebut sering terkubur akibat kekangan kos yang jauh lebih membebankan berbanding pelajar dari Semenanjung Malaysia. Persoalan yang timbul ialah, adakah pendidikan percuma wajar dan munasabah untuk diperkenalkan di Sabah? Sabah masih tergolong sebagai negeri dengan kadar kemiskinan yang antara tertinggi di Malaysia.
Realiti ini meletakkan anak-anak Sabah dalam kedudukan yang tidak seimbang untuk mengakses pendidikan berkualiti. Jurang ketara antara pelajar bandar dan luar bandar terus melebar akibat kekangan infrastruktur, terutamanya kemudahan teknologi dan capaian internet yang masih tidak menyeluruh di kawasan pedalaman. Dalam dunia pendidikan yang semakin berasaskan teknologi, keterbatasan ini menjadi satu bentuk ketidakadilan yang senyap tetapi menghimpit.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila sebahagian besar pelajar Sabah terpaksa melanjutkan pengajian ke Semenanjung kerana keterbatasan program pengajian dalam negeri. Keputusan ini bukan sahaja meningkatkan kos pengajian secara drastik, malah membebankan keluarga dengan perbelanjaan tambahan seperti tiket penerbangan, sewaan tempat tinggal, pengangkutan serta kos sara hidup harian.
Bagi keluarga berpendapatan rendah, beban ini sering kali memadamkan terus impian anak-anak untuk melangkah ke menara gading. Lebih memilukan, terdapat keluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan tidak tetap sebagai buruh atau pekerja kasual, di mana hasil yang diperoleh sekadar mencukupi untuk kelangsungan hidup seharian. Dalam realiti sebegini, pendidikan tinggi bukan lagi sebuah pilihan yang realistik.
Walaupun negara kita sejak sekian lama mengekalkan kadar yuran IPT yang relatif rendah berbanding negara jiran seperti Indonesia, realiti bagi pelajar Sabah tetap berbeza. Faktor geografi yang mencabar, seperti laluan pedalaman yang memerlukan perjalanan berjam-jam, penggunaan bot bagi merentasi sungai atau laut, serta keperluan kenderaan khas seperti pacuan empat roda akibat jalan yang belum berturap, menambah lagi rintangan fizikal dan psikologi kepada anak-anak Sabah.
Cabaran ini bukan sekadar angka dalam statistik, tetapi kisah perjuangan yang berlaku dalam diam. Dalam konteks ini, terdapat analisis yang menyatakan bahawa pelaksanaan pendidikan percuma untuk anak-anak Sabah mampu membawa manfaat besar kepada pembangunan negeri. Antaranya ialah potensi melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi dalam sektor-sektor strategik seperti minyak dan gas serta pelancongan.
Sabah merupakan negeri yang kaya dengan hasil bumi dan memiliki tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa, namun kekayaan ini tidak akan bermakna sekiranya tenaga mahir tempatan gagal dibangunkan. Perbandingan dengan Sarawak turut memperlihatkan bagaimana dasar keutamaan terhadap anak negeri dalam sektor utama dapat memperkukuh ekonomi dan peluang pekerjaan tempatan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan pendidikan percuma bukanlah tanpa cabaran. Kerajaan perlu menanggung kos pembiayaan yang sangat tinggi, khususnya bagi bidang teknikal dan profesional yang memerlukan kemudahan, peralatan dan kepakaran khusus. Selain itu, timbul juga kebimbangan terhadap kemungkinan salah agihan dana kepada golongan yang tidakbenar-benar layak, serta isu pemilihan pelajar yang mungkin dipengaruhi oleh kepentingan politik.
Kapasiti universiti tempatan juga menjadi satu persoalan besar, memandangkan peningkatan kemasukan pelajar secara mendadak boleh menekan keupayaan prasarana sedia ada. Tambahan pula, tidak semua graduan dijamin akan kembali berkhidmat di Sabah setelah tamat pengajian. Namun demikian, pelaksanaan pendidikan percuma masih boleh direncanakan secara bersasar dan lebih lestari. Pendidikan percuma wajar difokuskan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah sebagai satu bentuk keadilan sosial.
Keutamaan juga boleh diberikan kepada bidang-bidang kritikal yang diperlukan dalam pasaran kerja Sabah seperti minyak dan gas serta pelancongan. Pendekatan ini bukan sahaja mampu meningkatkan taraf ekonomi negeri, malah membantu merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar. Malah, kerajaan juga boleh memperkenalkan ikatan perjanjian perkhidmatan, di mana graduan yang menerima pembiayaan pendidikan percuma diwajibkan berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian sebagai satu bentuk balasan kepada pelaburan kerajaan.
Walaupun terdapat ancaman seperti ketidakstabilan ekonomi yang boleh menjejaskan kelangsungan dasar pendidikan percuma dalam jangka panjang, serta risiko sikap kurang menghargai bantuan dalam kalangan pelajar, semua ini sebenarnya boleh dikawal melalui pemantauan, penilaian berterusan dan penegasan terhadap kualiti pendidikan. Pendidikan percuma tidak seharusnya dilihat sebagai pemberian semata-mata, tetapi sebagai amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Secara keseluruhannya, pendidikan percuma untuk anak-anak Sabah bukan sekadar satu cadangan dasar, malah satu keperluan yang wajar disuarakan dengan lebih tegas di persidangan Dewan Undangan Negeri. Usaha ini berpotensi membina masa depan ekonomi Sabah yang lebih berdaya saing dan inklusif. Dengan harapan, dasar ini mampu membuka akses pendidikan yang lebih luas kepada golongan muda, lalu memperkukuhkan daya saing negeri dalam jangka masa panjang.
