KOTA KINABALU: Sawit Kinabalu menaja 2000 tiket percuma kepada penyokong Sabah FC di Semenanjung bagi memberikan sokongan kepada pasukan itu pada final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, berkata pemberian tiket itu sebagai usaha mengumpulkan seramai mungkin penyokong Sang Badak di stadium, sekali gus menyemarakkan semangat pasukan yang kembali ke pentas final selepas 27 tahun.
Victor menjelaskan inisiatif itu turut seiring dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu GLC Sabah bukan sahaja aktif dalam pembangunan ekonomi, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sukan negeri.
Menurutnya, penajaan itu diharap dapat memberi lonjakan moral kepada pemain untuk mempamerkan aksi terbaik dalam usaha mencipta sejarah menewaskan JDT, yang dikenali sebagai pasukan paling dominan dalam bola sepak tempatan.
Sawit Kinabalu merupakan penaja utama Sabah FC musim ini, manakala Victor sendiri dilantik sebagai Pengurus Sabah FC sejak Ogos lalu.
Sabah FC mara ke final selepas menewaskan Selangor FC 5-4 melalui penentuan penalti pada aksi separuh akhir kedua di Stadium MBPJ, 30 November lalu.
