KINABATANGAN
Amalan politik wang di Sabah disifatkan sebagai racun yang ditelan secara sukarela oleh masyarakat sehingga akhirnya dinormalisasi dalam setiap pilihan raya, kata Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Naim Kurniawan Moktar.
Menurut beliau, politik wang bukan lagi sekadar khabar angin atau tuduhan politik, sebaliknya telah menjadi rahsia terbuka yang diterima sebagai harga sebuah undi.
“Pemberi tidak memberi kerana ikhlas, penerima pula menuntut tanpa rasa bersalah. Ungkapan ‘tiada duit, tiada undi’ seolah-olah menjadi slogan tidak rasmi setiap kali pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Naim berkata, terdapat parti politik yang sanggup membelanjakan ratusan juta ringgit bagi memenuhi kehendak pengundi, namun wang tersebut bukanlah sedekah, sebaliknya satu bentuk pelaburan politik.
“Apabila kuasa diperoleh, Sabah akan diperah untuk memulangkan semula modal yang telah dibakar. Rakyat akhirnya membayar harga sebenar bukan pada hari mengundi, tetapi sepanjang tempoh pemerintahan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa demi kesenangan sementara, ada pengundi yang sanggup menggadaikan prinsip dan menutup mata terhadap kesan jangka panjang yang merosakkan sistem pentadbiran negeri.
Akibatnya, katanya, ukuran terhadap seorang wakil rakyat tidak lagi berdasarkan kejujuran atau khidmat bakti, sebaliknya pada kemampuan menghulurkan wang.
“Calon yang berwibawa, bersih dan berwawasan tersingkir bukan kerana gagal berkhidmat, tetapi kerana gagal bersaing dalam pesta membeli sokongan. Sistem ini menghukum orang baik dan mengangkat mereka yang sanggup membayar harga,” katanya.
Mengulas realiti politik semasa, Naim berkata wakil rakyat yang benar-benar telus tidak mungkin hidup kaya raya tanpa terlibat dalam rundingan projek atau kepentingan kuasa.
“Ini realiti pahit yang sering kita nafikan walaupun terpampang jelas di hadapan mata,” ujarnya.
Beliau menegaskan selagi politik wang diraikan setiap kali pilihan raya, Sabah akan terus berada di takuk lama meskipun kaya dengan sumber semula jadi.
“Kita kaya dengan sumber, tetapi miskin dengan masa depan. Jangan salahkan pemimpin semata-mata kerana apabila undi dijual, hak untuk menuntut perubahan turut tergadai,” katanya.
