KUALA LUMPUR:Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil menegaskan bahawa dakwaan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K Arvind Krishnan yang menafikan kononnya MIC kemabukan kuasa dan tidak jujur dalam membuat ketetapan politik adalah bercanggah dengan rekod serta laporan media yang telah disiarkan secara terbuka.
Menurut Fadzmel, kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menuntut pendirian jelas daripada MIC sebelum ini tidak dibuat secara emosional, sebaliknya berasaskan rentetan tindakan dan keputusan MIC yang dilihat tidak konsisten.
Beliau berkata, ungkapan bahawa MIC dilihat “siang cakap lain, malam pula cakap lain” perlu difahami dalam keseluruhan konteks perkembangan politik semasa, khususnya apabila MIC sendiri mengakui wujud perbincangan awal dengan Perikatan Nasional bagi menentukan hala tuju parti.
“Ini bukan persepsi atau tohmahan. MIC sendiri mengesahkan wujud perbincangan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional. Tidak lama selepas itu, wakil MIC dilaporkan menghadiri Mesyuarat Perwakilan Armada Bersatu, sayap pemuda dalam Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keadaan menjadi semakin mengelirukan, katanya, apabila Setiausaha Agung MIC pula dilaporkan menghadiri Perhimpunan Agung Parti Pejuang Tanah Air yang turut dikaitkan sebagai rakan politik Perikatan Nasional.
Kemuncak kepada siri tindakan tersebut, menurut Fadzmel, berlaku apabila Mesyuarat Perwakilan Tahunan MIC ke 79 meluluskan usul secara sebulat suara untuk keluar daripada Barisan Nasional dan menyertai Perikatan Nasional, satu keputusan yang turut disaksikan oleh Arvind sendiri sebagai perwakilan mesyuarat.
“Perkara ini kemudiannya disahkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional yang mengakui MIC pernah memohon untuk menyertai gabungan itu. Malah beberapa pemimpin Perikatan Nasional turut menyatakan secara terbuka bahawa MIC telah pun ‘checked in’ ke rumah politik baharu,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian MIC yang pada satu masa menyatakan kecenderungan untuk bersama Perikatan Nasional, namun pada masa sama menegaskan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fadzmel menegaskan bahawa kecenderungan MIC ke arah Perikatan Nasional bukan isu baharu dan telah wujud sejak beberapa tahun lalu, termasuk pengakuan beberapa tokoh utama parti itu sendiri yang pernah menyatakan hasrat menyertai gabungan tersebut.
“Hanya selepas Pengerusi Barisan Nasional bertegas menuntut penjelasan serta menegakkan nilai kesetiaan dalam gabungan, barulah MIC menyatakan mereka akan kekal bersama BN sehingga diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dakwaan berlaku percanggahan antara kata dan tindakan bukan satu rekaan, sebaliknya berpunca daripada siri peristiwa yang boleh dirujuk dan dinilai secara terbuka.
Mengulas lanjut, Fadzmel yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Pemuda Barisan Nasional berkata, kesetiaan dalam politik tidak hanya diuji ketika parti kehilangan kuasa, tetapi juga ketika wujud ruang dan peluang untuk meraih kuasa.
“Nilai kesetiaan dan kejujuran inilah yang membezakan kepimpinan berprinsip dengan kepimpinan yang terperangkap dalam ilusi kuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan Pemuda MIC agar meneladani sejarah awal penubuhan parti itu yang dibina atas asas kerjasama, kestabilan negara dan kesetiaan kepada gabungan, bukannya politik emosi atau ugutan.
Dalam masa sama, Fadzmel menyatakan harapan agar MIC dapat bermuhasabah dan kembali memperkukuh kedudukan bersama Barisan Nasional melalui saluran musyawarah yang matang.
“Ruang perbincangan sentiasa terbuka sama ada di Dewan Tertinggi BN atau melalui apa jua platform. Tetapi perbincangan itu perlu dihadiri dengan keikhlasan, bukan sekadar alasan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai contoh kepimpinan yang matang apabila tetap hadir ke meja rundingan walaupun berbeza pandangan demi kestabilan bersama.
“Di situlah perbezaan antara kepimpinan yang berakal dan kepimpinan yang mengkhayalkan,” katanya.
