LAHAD DATU: Sebuah sekolah Pusat Pembelajaran Komuniti (Community Learning Centre, CLC) musnah dalam kebakaran yang berlaku di Ladang Bagahak 1, di sini, pada petang Sabtu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.56 petang.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerahkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan dua jentera bomba serta sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Komander operasi yang juga Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata setibanya di lokasi, didapati sebuah sekolah CLC persendirian berkeluasan kira-kira 40 x 45 kaki telah terbakar dan musnah sepenuhnya.
Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan tiga aliran hos dengan sumber air daripada jentera bomba dan sumber air terbuka.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.41 petang dan bangunan sekolah tersebut disahkan musnah 100 peratus.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan pada jam 6.45 petang selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
