KUDAT: Pemilik geran tanah di Sabah mendapat kemudahan membetulkan maklumat nama dan nombor kad pengenalan menerusi Program NIC yang menawarkan perkhidmatan percuma dan disasarkan selesai serta-merta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ketepatan maklumat pada geran tanah penting bagi memastikan urusan berkaitan hak milik berjalan lancar, termasuk tuntutan waris, jual beli dan urusan perbankan.
Beliau berkata demikian ketika membantu penduduk mendapatkan pengesahan dokumen bagi Program NIC – Pembetulan Nama dan Nombor Kad Pengenalan dalam Geran Tanah di Dataran Tomborungus, di sini, hari ini.
Armizan berkata, beliau bersama beberapa rakan Jaksa Pendamai (JP) turut memberikan khidmat pengesahan dokumen bagi membantu penduduk melengkapkan keperluan permohonan.
Katanya, perkhidmatan pengesahan dokumen oleh JP disediakan secara percuma, sekali gus membantu penduduk menjimatkan kos berbanding menggunakan khidmat pesuruhjaya sumpah yang mengenakan fi tertentu.
“Sebagai salah seorang JP sejak 2010, saya bersama beberapa rakan JP yang lain membantu membuat pengesahan dokumen berkaitan.
“Maklumat yang tepat penting bagi melancarkan urusan tanah, termasuk tuntutan waris, jual beli dan urusan bank,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Program berkenaan dilaksanakan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bagi memudahkan pemilik geran tanah membetulkan maklumat nama dan nombor kad pengenalan masing-masing.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada JTU Sabah kerana membawa perkhidmatan itu terus kepada penduduk Kudat, sekali gus memudahkan masyarakat setempat mendapatkan bantuan bagi urusan dokumentasi tanah.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk yang hadir mendapatkan perkhidmatan berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
