SEMPORNA, 9 Januari 2026
Seorang kru bot dilaporkan hilang manakala empat yang lain cedera selepas dua bot penumpang terlibat dalam perlanggaran di kedudukan kira kira 0.3 batu nautika timur Jeti Pelancong Semporna, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian 999 sekitar jam 11.30 pagi.
Menurut beliau, maklumat awal mendapati bot pertama yang membawa lima kru mengalami kerosakan teruk akibat perlanggaran tersebut.
Empat mangsa termasuk juragan bot dilaporkan cedera dan telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, seorang lagi kru bot berkenaan, Rosman bin Kandau, 24 tahun, disahkan hilang di lokasi kejadian.
Beliau berkata, bot kedua yang terlibat dalam kejadian itu pula membawa dua kru dan kesemuanya dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Susulan laporan tersebut, operasi Mencari dan Menyelamat atau CARILAMAT telah diaktifkan pada jam 1.50 petang bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
Operasi berkenaan melibatkan aset Bot CENDERAWASIH 09 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Bot PSC 58 milik Pasukan Polis Marin.
Pencarian dijalankan meliputi kawasan seluas tiga batu nautika persegi dan operasi CARILAMAT masih diteruskan sehingga kini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan keselamatan pelayaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian atau pencarian mangsa diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 0147870624 untuk tindakan segera.
