TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun selepas disyaki merakam video secara sulit terhadap ahli keluarganya di bilik air sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.27 petang sebelum suspek diberkas kira-kira jam 8.07 malam hari sama bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kejadian terbongkar apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui sebuah telefon bimbit dipercayai milik bapa tirinya disorokkan di dalam tandas rumah berkenaan dalam keadaan sedang merakam, sebelum menyerahkannya kepada ibunya.
βHasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa rakaman video mengaibkan melibatkan mangsa dan anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mangsa ketika mereka menggunakan bilik air,β katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh dan tinggal serumah dengan mangsa kemudian dipersoalkan oleh ahli keluarga sebelum mengakui perbuatannya.
Tambahnya, pemeriksaan awal ke atas telefon bimbit yang dirampas mendapati sebanyak 10 klip video disimpan, melibatkan rakaman terhadap mangsa serta dua orang anaknya.
Menurut ACP Jasmin, kes disiasat mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh serta mengaibkan kehormatan mangsa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral serta mencabul privasi orang lain.
