LAHAD DATU β Polis menahan lima penunggang motosikal dan menyita 10 buah motosikal dalam Op Motorsikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan kerjasama Cawangan Khas (CK), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) serta balai-balai polis di bawah pentadbiran IPD Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, operasi tersebut dijalankan di sekitar Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centre serta Jalan Lahad DatuβSandakan/Tawau.
Menurutnya, lima penunggang lelaki berusia sekitar 20 tahun ditahan kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain menunggang motosikal tanpa lesen memandu.
βKesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,β katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu, seramai 46 individu dan 35 buah motosikal telah diperiksa, manakala sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Dalam pada itu, katanya, polis turut menyita 10 buah motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan mengubah suai kenderaan serta menunggang tanpa lesen memandu yang sah.
Dzulbaharin menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang boleh membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti berkenaan dan operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255.
