TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot tunda tempatan selepas didapati melanggar syarat sah lesen ketika beroperasi di perairan Tawau, malam tadi.
Bot tunda berkenaan ditahan kira-kira jam 8.30 malam hasil pemeriksaan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur, Op Sejahtera dan Op Tiris.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Norihan Ngah berkata, pemeriksaan ke atas bot tunda yang dikesan pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika selatan Kampung Muhibbah mendapati juragan serta kru bot tidak didaftarkan dalam lesen yang sah.
“Bot tersebut dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga Indonesia berusia 55 tahun bersama dua kru lelaki warga Indonesia berumur 53 dan 54 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, semakan dokumentasi mendapati juragan dan kru bot tidak tersenarai dalam daftar nama lesen, tidak memiliki sijil kompetensi yang diperlukan serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda seperti yang ditetapkan.
Berikutan itu, lesen bot berkenaan ditahan manakala juragan bersama bot dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952).
Norihan menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana komuniti maritim yang gagal mematuhi undang-undang, walaupun melibatkan kesalahan yang dianggap kecil.
“Pemilik dan pengendali bot dinasihatkan supaya sentiasa peka serta mematuhi syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Maritim Malaysia akan terus memperkasakan penguatkuasaan serta mengoptimumkan operasi bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku atau jenayah di perairan Tawau diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
