KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 24 tahun pengsan ketika menjalankan aktiviti mendaki di Bukit Padang berhampiran Taman Botani Tun Fuad Stephens, di sini, petang tadi.
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi pada jam 4.59 petang selepas menerima panggilan kecemasan.
Anggota bomba terpaksa mendaki kira-kira 250 meter untuk sampai ke lokasi mangsa sebelum membawa wanita berkenaan turun menggunakan stretcher.
Mangsa yang berada dalam keadaan sedar kemudian diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan selepas pihak bomba mengesahkan keadaan di lokasi adalah selamat.
