KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menasihatkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti memandangkan mereka merupakan wakil Kerajaan Negeri di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, PPM yang ditempatkan di kawasan pembangkang khususnya memikul amanah besar dalam meraih kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar. Kamu adalah mata dan telinga kerajaan. Laksanakanlah tugas dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah Fasa Kedua melibatkan 35 PPM di Menara Kinabalu, di sini, hari ini, yang mana kebanyakannya akan berkhidmat di kawasan pembangkang.
Menurut Hajiji, sebelum ini seramai 45 PPM telah mengangkat sumpah jawatan pada majlis angkat sumpah fasa pertama yang diadakan pada 13 Januari lalu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan PPM supaya sentiasa menjaga imej Kerajaan Negeri dan tidak menyalahgunakan kedudukan demi kepentingan peribadi.
“Jangan lakukan perkara demi kepentingan sendiri. Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan peribadi dan mengabaikan kebajikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka.
“Jangan salah guna kuasa, sebaliknya utamakan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” tegasnya.
Hajiji turut menekankan peranan PPM sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan menjelaskan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Negeri di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada peringkat akar umbi.
Majlis itu turut dihadiri menteri-menteri kabinet negeri serta Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.
