TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkesempatan mengunjungi Gerai Minggu Belia Tawau yang diadakan setiap hari Ahad bermula jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam di Perkarangan Dewan Arena Belia Tawau, di sini.
Menurut beliau, penganjuran gerai berkenaan merupakan satu inisiatif berimpak tinggi dalam menyediakan platform kepada golongan belia untuk menampilkan bakat, kreativiti serta kebolehan keusahawanan, selain menghidupkan suasana hujung minggu di daerah ini.
Katanya, program berkenaan menawarkan pelbagai aktiviti dan tarikan menarik antaranya gerai makanan dan minuman, seni kraf tangan, persembahan muzik dan busking, mini cinema serta pelbagai lagi pengisian yang memberi nilai tambah kepada pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja berperanan sebagai ruang interaksi sosial, malah membantu merancakkan ekonomi kreatif tempatan dengan membuka peluang kepada usahawan kecil dan penggiat seni untuk menjana pendapatan,” katanya.
Gerai Minggu Belia Tawau merupakan cetusan idea dan anjuran Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KPBKES), Bahagian Tawau, sebagai usaha berterusan memperkasa penglibatan belia serta menyokong pembangunan ekonomi kreatif di peringkat akar umbi.
Datuk Nizam turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan penganjuran program berkenaan, sambil berharap ia dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain di Sabah.
