KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Sapu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, pada Rabu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 140 individu sebelum 27 lelaki dan 35 wanita warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta pas yang sah.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan tersebut, 61 adalah warganegara Filipina manakala seorang lagi warganegara Indonesia.
“Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi yang digerakkan oleh Bahagian Penguatkuasa dan Unit Operasi JIM Sabah itu melibatkan seramai 46 pegawai penguat kuasa serta menyasarkan kawasan penempatan yang dikenal pasti menjadi tumpuan PATI.
Tambahnya, JIM Sabah akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.
