LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki selepas didapati positif dadah dalam Operasi Pemeriksaan Pusat Hiburan yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi membanteras penyalahgunaan dadah serta aktiviti jenayah di premis hiburan.
Menurutnya, seramai 10 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu dengan pemeriksaan dijalankan ke atas dua premis pusat hiburan serta melibatkan 16 individu daripada pelbagai bangsa dan kewarganegaraan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki yang merupakan pengunjung pusat hiburan ditahan untuk siasatan lanjut selepas ujian saringan air kencing ke atas lima pengunjung mendapati seorang daripadanya positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, lelaki terbabit didapati positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamin.
Tambahnya, operasi dan pemeriksaan seumpama itu akan diteruskan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan premis hiburan tidak disalahgunakan sebagai lokasi penyalahgunaan dadah serta mengekang aktiviti jenayah di daerah ini.
