KOTA KINABALU, 30 Januari 2026
Pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang merasakan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan digesa supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan atau Ketua Menteri bagi tujuan pertimbangan penempatan semula.
Ketua Menteri Sabah Datuk Haji Hajiji Haji Noor berkata langkah tersebut penting bagi membuka ruang penambahbaikan, memperkasa keupayaan perkhidmatan awam serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Beliau menegaskan penjawat awam bukan sekadar pelaksana arahan, sebaliknya rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.
Menurutnya, perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan, justeru perlu kekal profesional, neutral serta berorientasikan rakyat walaupun berlaku perubahan kerajaan atau dasar.
Berucap semasa menyampaikan Amanat kepada Penjawat Awam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, beliau berkata disiplin dan integriti mesti menjadi teras perkhidmatan awam kerana salah laku bukan sahaja mencemarkan nama baik individu dan institusi, malah boleh memberi kesan besar kepada negeri dan negara.
Dalam usaha memperkukuh integriti, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri sedang berusaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001 2015 dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ABMS 37001 2025 secara bersepadu.
Datuk Haji Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat penggal kedua Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Negeri ke 17 lalu yang menurutnya telah meletakkan Sabah pada landasan kestabilan politik, ekonomi dan pentadbiran yang lebih kukuh.
Beliau berkata kestabilan politik dengan penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri membuka ruang kepada pembaharuan pentadbiran termasuk penstrukturan semula kementerian dan agensi, selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara.
