SOOK
Proses pengaspalan bagi projek pembinaan jalan dari Rancangan Belia Tiulon ke Kampung Simbuan di Daerah Sook telah mula dilaksanakan, menandakan satu lagi fasa penting pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan Parlimen Pensiangan.
Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup, memaklumkan projek sepanjang 26 kilometer itu kini memasuki fasa pengaspalan selepas kerja awalan dimulakan kira-kira 12 bulan lalu.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan berdepan pelbagai cabaran termasuk bantahan dan kekangan pelaksanaan, namun usaha berterusan akhirnya membolehkan projek tersebut disambung semula dan diteruskan demi kepentingan rakyat.
“Projek ini melalui pelbagai halangan, namun dengan kegigihan dan sokongan masyarakat, kerja pembinaan dapat diteruskan sehingga memasuki fasa pengaspalan. Ia satu keperluan asas yang akan memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk,” katanya.
Jalan berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2027, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja pembinaan.
Selain projek jalan raya, Arthur turut memaklumkan beberapa projek pembangunan lain telah berjaya dilaksanakan di kawasan berkenaan sebagai usaha mentransformasikan sosioekonomi penduduk setempat.
Antara projek yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pembinaan Bangunan Pasar Tamu Baharu Rancangan Belia Tiulon yang telah siap sepenuhnya, pembinaan menara telekomunikasi baharu bagi meningkatkan liputan rangkaian telefon dan internet, serta pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Rancangan Belia Tiulon yang kini mencapai kira-kira 80 peratus kemajuan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama sehingga projek-projek pembangunan tersebut dapat direalisasikan.
Pelaksanaan projek jalan ini dijangka memberi impak besar kepada mobiliti penduduk, akses ekonomi serta kemudahan asas, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar di kawasan Pensiangan.
