Hajiji bergambar bersama tetamu kehormat lain dan jawatankuasa SAN Apas Balung, Tawau.
TAWAU: Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung kini mencipta sejarah apabila menjadi sekolah agama pertama di Malaysia yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata inisiatif itu membuktikan institusi pendidikan agama di negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan, malah bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa depan sejajar perkembangan teknologi semasa.
“Ini satu pencapaian yang sangat baik dan membuktikan sekolah agama juga mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya ketika merasmikan SAN Apas Balung di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kejayaan pembinaan sekolah berkenaan yang siap dalam tempoh tiga bulan hasil sumbangan masyarakat amat membanggakan, sebelum kerajaan negeri tampil membantu memperluaskan lagi kemudahan sekolah itu.
Beliau berkata, SAN Apas Balung bukan sekadar menjadi perintis, malah wajar dijadikan contoh dan rujukan kepada sekolah agama negeri serta sekolah agama rakyat lain dalam usaha memodenkan sistem pembelajaran tanpa mengetepikan nilai serta teras pendidikan Islam.
“Penggunaan teknologi AI dalam pendidikan agama selari dengan keperluan generasi masa kini yang terdedah kepada teknologi digital, sekali gus memastikan institusi pendidikan Islam kekal relevan, berdaya saing dan progresif.
“Teknologi yang canggih perlu dimanfaatkan untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Selain itu, Hajiji berkata kerajaan negeri menyambut baik perancangan pihak pengurusan sekolah untuk menubuhkan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di kawasan itu.
“Penubuhan SMAN ini sangat bertepatan memandangkan permintaan masyarakat Islam terhadap pendidikan agama di Sabah semakin meningkat.
“Perancangan ini amat baik dan perlu diperluaskan bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan Islam secara lebih tersusun,” katanya.
Beliau turut menyokong cadangan penubuhan institusi pengajian tinggi atau universiti Islam sebagai langkah positif melengkapkan ekosistem pendidikan agama di negeri ini.
Hajiji memberi jaminan, kerajaan negeri akan mengatur peruntukan sewajarnya bagi menyokong pembangunan sekolah menengah agama pada masa akan datang.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan bantu mana yang boleh dan mengikut kemampuan,” katanya.
