SEMPORNA: Rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM95,320 berjaya dirampas selepas sebuah kenderaan jenis Proton Waja ditahan dalam Operasi Intra/Inter Agensi (Op Taring Alpha 1) di hadapan Pondok Bas Express, di sini.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Cawangan Risikan Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan bantuan Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Dalam operasi itu, sebuah Proton Waja berwarna emas yang dipandu seorang lelaki ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
Pegawai risikan yang terlibat memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis sebelum memaklumkan tujuan pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar rokok pelbagai jenama dipercayai seludup disimpan di tempat duduk penumpang belakang serta di dalam bonet kenderaan berkenaan.
Suspek bersama barang rampasan kemudian ditahan sebelum diserahkan kepada Cawangan Siasatan Jenayah IPD Semporna untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, manakala usaha risikan akan diteruskan bagi mengesan rangkaian serta pihak lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok berkenaan.
