TAWAU – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 malam di sebuah penginapan di Jalan Sabindo hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihak polis.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.13 gram.
“Suspek menyerahkan sendiri dadah tersebut kepada pihak polis semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
Beliau menegaskan bahawa walaupun jumlah dadah yang dirampas adalah kecil, pihak polis tetap memandang serius setiap kes berkaitan dadah kerana ia memberi kesan buruk terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya di daerah Tawau.
“Polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya.
