TENOM: Murut Kolor Tenom menyatakan sokongan padu terhadap usaha Kerajaan Negeri Sabah memperkasa dan memartabatkan institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) menerusi kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Pengerusi Murut Kolor, Sinimpong @ Rohani Ganjau @ Abdullah berkata, pembaharuan berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Mahkamah Anak Negeri sebagai institusi yang berperanan memelihara, mempertahankan serta menguatkuasakan adat dan budaya masyarakat anak negeri.
Menurutnya, bagi masyarakat Murut khususnya, Mahkamah Anak Negeri bukan sekadar sebuah institusi perundangan adat, sebaliknya menjadi lambang identiti, maruah, warisan dan jati diri yang diwarisi sejak turun-temurun.
Beliau berkata, usaha memperkukuh institusi berkenaan amat penting bagi memastikan adat serta tradisi masyarakat anak negeri terus terpelihara dan dihormati oleh generasi akan datang.
“Pembaharuan ini diharap dapat meningkatkan keberkesanan pentadbiran Mahkamah Anak Negeri, selain memperkukuh peranan Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung dalam memastikan sistem perundangan adat terus mendapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat Murut khususnya di daerah Tenom supaya bersama-sama memberikan sokongan terhadap usaha berkenaan demi kepentingan dan masa depan masyarakat anak negeri Sabah.
Menurutnya, institusi Mahkamah Anak Negeri merupakan warisan, identiti dan amanah yang perlu dipertahankan bersama agar terus kekal relevan serta dihormati oleh generasi akan datang.-DAKWAT RAKYAT POST
