RANAP: Sebanyak 40 buah rumah ranap terbakar di Kampung Titingan Tawau.
TAWAU: Sebanyak 40 buah rumah setinggan musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Titingan, di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
Menurutnya, seramai 25 anggota BBP Tawau bersama tujuh anggota Bomba Komuniti Titingan, termasuk Unit Dron, terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran berkenaan.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.23 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan dengan keluasan keseluruhan kira-kira 131 x 147 meter.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran, dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba, lori tangki air, pili bomba serta sumber air terbuka termasuk air longkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan tekanan air yang rendah serta keadaan angin yang tidak menentu, namun kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Katanya, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.55 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 petang, selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta anggaran kerugian akibat kebakaran,” katanya.
