SANDAKAN: Seekor ular sawa seberat kira-kira 10 kilogram dan sepanjang hampir dua meter berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan selepas dipercayai menelan seekor ayam di kawasan kediaman penduduk, pagi tadi.
Menurut APM Sandakan, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian itu pada jam 7.53 pagi sebelum Skuad Alpha digerakkan ke lokasi tiga minit kemudian bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.
“Hasil tindakan pantas dan teratur anggota di lokasi, ular sawa tersebut berjaya ditangkap dengan selamat pada jam 8.42 pagi,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan, kehadiran ular bersaiz besar itu menimbulkan kebimbangan penduduk setempat, terutama kerana kawasan berkenaan berhampiran semak dan terdapat ternakan.
Operasi menangkap ular sawa tersebut berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
APM Sandakan turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada, khususnya penduduk yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran kawasan semak atau mempunyai ternakan, serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi melibatkan haiwan liar atau berbahaya.
