TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah selepas ditemui membawa pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melakukan jenayah tersebut dalam satu rondaan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau ketika Ops Ronda Cegah Jenayah dijalankan di kawasan Taman Semarak, kira-kira jam 4.30 pagi.
Menurutnya, lelaki berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas beg galas yang dipakainya.
“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah rumah termasuk pemotong besi, pemutar skru, besi tajam yang diubah suai, batang besi serta sebuah lampu suluh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ACP Jasmin berkata, siasatan awal mendapati suspek turut mengaku terlibat dalam satu kes curi duit tabung di sebuah surau yang dilaporkan Khamis lalu, dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau melibatkan kesalahan berkaitan dadah serta jenayah harta benda di daerah Semporna dan Tawau.
“Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Polis Tawau akan terus mempergiat rondaan serta operasi pencegahan secara berterusan bagi membanteras kegiatan jenayah dan dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara.
