TAWAU: Polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian ugutan jenayah dan serangan menggunakan batang besi terhadap seorang lelaki di sebuah kedai peralatan rumah dan elektrik di Jalan Chong Thien Vun, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku apabila mangsa didatangi seorang lelaki yang dikenalinya bersama beberapa rakan sebelum dipukul secara tiba-tiba menggunakan batang besi sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 25 tahun di kawasan Lorong Perdana Jaya 5 kerana disyaki terlibat dalam ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil tangkapan itu, polis turut merampas sebatang besi dan sebilah pisau pemotong yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Tambahnya lagi, dua lagi suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 34 hingga 36 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk keganasan dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti jenayah.
