TUNGKU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.60 Tungku telah menyalurkan sumbangan wang tunai kepada mangsa banjir di Kampung Silabukan Peringkat 1, Tungku, dalam usaha meringankan beban penduduk yang terjejas.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh PPM N.60 Tungku, Tn. Mohd Syahid bin Gulam, melibatkan beberapa keluarga yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.
Menurut beliau, bantuan kewangan tersebut diharap dapat membantu penerima dalam menampung keperluan asas serta menjalani kehidupan seharian sepanjang tempoh pemulihan pasca bencana.
“UPPM N.60 Tungku sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya mereka yang ditimpa musibah. Bantuan ini adalah tanda keprihatinan dan sokongan berterusan kepada komuniti setempat,” katanya.
Penduduk yang menerima sumbangan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan serta bantuan yang diberikan, yang disifatkan amat bermakna dalam situasi sukar yang mereka hadapi.
UPPM N.60 Tungku komited untuk terus memantau keadaan semasa dan akan mengambil langkah susulan yang perlu bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara.
