KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan lebih ramai pelabur dari Jepun untuk meneroka potensi Ekonomi Biru yang dilihat mampu menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Ketua Menteri,Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata sektor Ekonomi Biru menawarkan pelbagai peluang pelaburan strategik, khususnya dalam bidang perikanan moden, bioteknologi marin, tenaga boleh diperbaharui berasaskan laut serta pelancongan marin mampan.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, di Sri Gaya, hari ini.
Menurutnya, dasar mesra pelabur yang dilaksanakan Kerajaan Negeri turut membuka ruang luas kepada pelabur asing untuk meneroka pelbagai sektor ekonomi berimpak tinggi di Sabah.
“Sabah komited menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan stabil bagi memastikan setiap pelaburan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.
Sementara itu, Shikata berada di Sabah bagi lawatan rasmi selama tiga hari yang turut merangkumi kunjungan ke Universiti Malaysia Sabah serta mempromosikan Green×Expo 2027 yang dijadual berlangsung di Yokohama, Jepun.
Duta Besar itu turut diiringi Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Yamashita Yoshito, bersama pegawai-pegawai Kedutaan Jepun ke Malaysia.
Lawatan tersebut dilihat mampu memperkukuh hubungan dua hala antara Sabah dan Jepun, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama ekonomi, pendidikan dan teknologi antara kedua-dua pihak.
