KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, mengingatkan anak-anak Sabah yang menuntut ilmu di perantauan agar tidak memutuskan hubungan dengan negeri sendiri serta sentiasa mengikuti perkembangan dasar dan usaha kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah (GRS SubFly) 2026 yang memberi manfaat secara langsung kepada 2,772 pelajar Sabah di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Menurut Hajiji, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan pelajar Sabah walau di mana mereka berada, selaras dengan aspirasi menjadikan pendidikan sebagai teras pembangunan negeri.
“Dalam program semalam, saya mengingatkan mereka supaya sentiasa mengambil tahu usaha dan dasar yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri serta mendapatkan maklumat yang betul secara langsung.
“Jangan mudah terpengaruh dengan cerita luar yang tidak menggambarkan realiti sebenar di Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru agar anak-anak Sabah yang menimba ilmu di luar negeri kembali suatu hari nanti untuk berkhidmat dan menyumbang kepakaran kepada negeri tercinta.
“Saya berharap apabila tamat pengajian kelak, mereka kembali membawa ilmu, pengalaman dan idea baharu untuk bersama-sama membangunkan Sabah.
Negeri ini memerlukan tenaga muda dan semangat anak watan untuk terus maju secara mampan,” katanya lagi.
Inisiatif GRS SubFly 2026 dilihat sebagai antara pendekatan berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan pelajar Sabah sentiasa diberi perhatian, selain mengukuhkan hubungan antara anak negeri di perantauan dengan tanah air.
