KOTA KINABALU – Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan mengarahkan seorang wanita menjalani mufaraqah selepas didapati bernikah dengan lelaki lain ketika masih sah bergelar isteri menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pemerhati sosial dan tokoh masyarakat.
Mengulas isu berkenaan, Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap Pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah bin Malik Aman, menyifatkan kes tersebut sebagai satu petunjuk jelas berlakunya krisis kefahaman agama yang semakin membimbangkan dalam masyarakat Islam.
Menurut beliau, tindakan seorang wanita berkahwin ketika masih dalam ikatan perkahwinan yang sah bukan sekadar kesilapan prosedur, tetapi mencerminkan kecuaian serius terhadap hukum syarak dan institusi keluarga.
“Ini bukan isu kecil. Ini isu asas dalam agama. Perkahwinan adalah institusi suci yang mempunyai garis hukum yang jelas. Apabila perkara asas seperti ini dipandang ringan, ia menunjukkan berlaku kelonggaran nilai dan disiplin beragama,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menegaskan bahawa hukum Islam secara tegas melarang seorang wanita mempunyai dua suami dalam satu masa, dan perkara itu bukan ruang ijtihad atau perbezaan pandangan, sebaliknya prinsip qat‘i yang tidak boleh dipertikaikan.
“Apabila wujud sikap sambil lewa terhadap hukum nikah, talak dan rujuk, kita sebenarnya sedang berhadapan dengan gejala normalisasi pelanggaran syariat. Sebahagiannya mungkin dipengaruhi fahaman liberal yang mengangkat kehendak individu melebihi disiplin agama,” jelasnya.
Kefayatullah turut menekankan bahawa kes seperti ini memberi implikasi besar dari sudut nasab, hak penjagaan anak, pewarisan harta serta rekod undang-undang syariah. Katanya, kekeliruan status perkahwinan bukan sahaja menjejaskan individu terlibat, malah boleh memberi kesan berpanjangan kepada generasi seterusnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa agama di semua negeri agar memandang serius isu berkenaan dan memperkukuh pendidikan praperkahwinan serta pemantauan sistem pendaftaran nikah.
“Penguatkuasaan perlu tegas, tetapi dalam masa yang sama pendidikan mesti diperkasa. Kursus praperkahwinan jangan sekadar formaliti. Ia mesti menjadi platform memperkukuh kefahaman tentang hukum dan tanggungjawab rumah tangga,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar pendekatan dakwah diperluaskan melalui media digital dan platform komuniti bagi mendekati golongan muda yang semakin jauh daripada pengajian agama tradisional.
“Institusi keluarga adalah benteng terakhir masyarakat. Jika asas perkahwinan sudah longgar, kita akan berdepan peningkatan perceraian, pertikaian hak dan krisis identiti anak-anak. Ini bukan sekadar isu mahkamah, ini isu masa depan ummah,” tegas beliau.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak melihat kes tersebut hanya sebagai sensasi berita, sebaliknya mengambil iktibar dan memperbetulkan kefahaman terhadap hukum syarak.
Kes berkenaan sebelum ini dilaporkan media tempatan apabila Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan memerintahkan mufaraqah bagi merungkai kekusutan status perkahwinan seorang wanita yang didapati bernikah dengan lelaki warga Pakistan ketika masih sah sebagai isteri kepada suami pertamanya.
Tindakan mahkamah itu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan ketertiban undang-undang dan pemeliharaan hukum syarak terus terpelihara.
