SANDAKAN – Hujan lebat berterusan yang melanda daerah ini pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air selain kejadian pokok tumbang di sekitar bandar.
Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Pangeran dan Taman Fajar, manakala beberapa laluan utama dilaporkan dinaiki air antaranya Jalan Batu 7, Taman Nuri, Taman Fajar Lama, Jalan Mahkamah, Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan Petronas Batu 6 serta Jalan Perhutanan.
Dalam kejadian berasingan, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi berhubung kejadian banjir kilat di Lot 56, Peringkat 1, Batu 12.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, seramai lapan mangsa dilaporkan terperangkap susulan kenaikan paras air. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan yang diketuai PBK I Syamzari Ghani tiba di lokasi pada jam 8.32 pagi dan menjalankan operasi pemindahan menggunakan bot penyelamat.
Mangsa terdiri daripada tiga perempuan dewasa, dua kanak kanak perempuan, dua kanak kanak lelaki dan seorang warga emas perempuan. Kesemua mereka berjaya dipindahkan dengan selamat ke rumah ahli keluarga terdekat di kawasan tidak terjejas.
Operasi dikawal sepenuhnya dan ditamatkan pada jam 9 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sandakan turut menjalankan pemantauan berterusan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
Orang awam dinasihatkan agar terus berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
