Screenshot
TARAKAN – Cubaan menyeludup masuk produk makanan dari Malaysia sekali lagi berjaya digagalkan pihak berkuasa Indonesia apabila seorang lelaki berinisial AC ditahan bersama 2.4 tan gula dan 20 karung sosej tanpa dokumen sah di perairan Tarakan.
Tangkapan dilakukan oleh anggota Polres Tarakan menerusi unit Satpolairud Polres Tarakan di hadapan Pelabuhan Fery Juata Laut pada 17 Januari 2026 kira kira jam 4.30 pagi waktu Indonesia Tengah.
Menurut Kasat Polairud, IPTU Prabowo Eka Prasetyo, barangan tersebut diangkut menggunakan sebuah dump truck dari Nunukan ke Tarakan dengan menaiki kapal fery.
“Barang barang ini dimuat dalam truk dan berangkat dari Nunukan menuju Kota Tarakan,” katanya dalam sidang media pada 20 Februari 2026.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku sebagai pemilik barangan berkenaan. Produk gula jenama PREI dan sosis jenama Frankfurter Ayam dari Malaysia itu dipercayai untuk diedarkan ke pasar tradisional serta beberapa kedai runcit di Tarakan.
Menurut pengakuan suspek, kegiatan itu telah dilakukan sebanyak dua atau tiga kali sebelum ini.
Nilai Rampasan Puluhan Juta Rupiah
Polis turut menemui nota pembelian sosej bernilai Rp60.5 juta (RM14,003) dan gula berjumlah Rp37.5 juta (RM8,680)
Sosis dijual secara per dus manakala gula dijual mengikut kilogram.
Antara barang rampasan termasuk:
• Sebuah dump truck Hino warna hijau bernombor pendaftaran KU 8020 SC
• Sebuah telefon bimbit ZTE Blade A55 warna kelabu
• 50 karung gula jenama PREI
• 20 karung sosej jenama Frankfurter Ayam
• Nota pembelian gula bernilai Rp37.500.000
Kesemua barangan makanan kini disimpan di gudang beku milik pihak Karantina sementara menunggu proses perundangan dan kemungkinan pelupusan selepas keputusan mahkamah.
Disiasat Di Bawah Dua Undang Undang
Dalam kes ini, penyiasat turut bekerjasama dengan pihak Karantina dan Dinas Perdagangan sebagai saksi ahli.
Suspek dijerat mengikut Undang Undang Republik Indonesia Nomor 21 Tahun 2019 tentang Karantina Hewan, Ikan dan Tumbuhan serta Undang Undang Nomor 8 Tahun 1999 tentang Perlindungan Konsumen.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh berdepan hukuman berat kerana memasukkan produk pangan tanpa prosedur karantina dan perizinan yang sah, selain berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna.
Kes ini menjadi amaran tegas kepada mana mana pihak agar tidak mengambil risiko menyeludup produk makanan tanpa kelulusan rasmi, khususnya di kawasan sempadan Indonesia Malaysia yang sering menjadi laluan perdagangan tidak sah.
