TAWI- TAWI: Sultan Sulu ke-35, Al Sultan Hajji Muedzul Lail Tan Kiram, mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini berhubung status Sabah atau Borneo Utara dengan mengulangi pendirian bahawa wilayah itu tidak pernah dijual secara sah kepada pihak British.
Dalam kenyataan tersebut, beliau mendakwa perjanjian tahun 1878 antara Kesultanan Sulu dan wakil yang kemudian menjadi Syarikat Berpiagam Borneo Utara British bukanlah satu penjualan mutlak atau pemindahan kedaulatan secara kekal, sebaliknya hanya melibatkan bayaran tahunan yang berterusan.
Menurut kenyataan itu, bayaran tahunan yang berterusan menunjukkan ia lebih bersifat pajakan atau sewaan dan bukannya penyerahan hak milik sepenuhnya.
Beliau menegaskan bahawa prinsip asas undang-undang menyatakan seseorang tidak boleh menjual sesuatu yang bukan miliknya, dan jika perjanjian tersebut hanya bersifat pajakan, maka syarikat berkenaan tidak mempunyai kuasa sah untuk memindahkan kedaulatan Sabah kepada Kerajaan British pada tahun 1946 atau memasukkannya ke dalam Persekutuan Malaysia tanpa persetujuan pihak yang dianggap sebagai pemilik asal.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa bayaran berterusan melambangkan pengiktirafan terhadap pemilikan pihak asal dan bukan bukti penyerahan kedaulatan.
Beliau turut membuat perbandingan bahawa harta yang disewa tidak boleh dijual oleh penyewa kerana hak penggunaan tidak bermaksud hak pemilikan.
Selain itu, kenyataan tersebut turut mendakwa bahawa tuntutan penentuan nasib sendiri tidak sah sekiranya dibuat oleh pihak yang tidak mempunyai hak pemilikan sah terhadap wilayah berkenaan.
Kenyataan berkenaan juga mengandungi dakwaan berkaitan penduduk asal Borneo Utara yang kononnya dinafikan hak politik dan sosial, serta isu pendatang tanpa izin yang didakwa menjejaskan kedudukan penduduk asal.
Al Sultan Hajji Muedzul Lail Tan Kiram dalam kenyataan itu menegaskan bahawa pendirian tersebut dibuat berdasarkan prinsip undang-undang yang menurutnya menyatakan bahawa kedaulatan tidak boleh dipindahkan oleh pihak yang tidak memiliki hak sah terhadap wilayah tersebut.
Sehingga kini, Kerajaan Malaysia secara konsisten menegaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia berdasarkan proses penubuhan Malaysia pada tahun 1963 serta pengiktirafan masyarakat antarabangsa.
