KOTA KINABALU – Sempena bulan Ramadan, Maxim Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA UiTM Sabah menganjurkan satu program konvoi komuniti ke Masjid Al A’laa Kampung Lokub baru baru ini sebagai usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan amalan bersedekah.
Program tersebut melibatkan seramai 18 peserta dari UiTM Sabah yang terdiri daripada kakitangan serta Majlis Perwakilan Pelajar yang menyertai konvoi menggunakan kenderaan pemandu Maxim.
Dalam program berkenaan sebanyak 100 pek juadah berbuka puasa telah diagihkan secara langsung kepada komuniti setempat di masjid tersebut.
Penganjuran program itu bukan sahaja menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan peserta malah mencerminkan nilai sebenar Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan perkongsian rezeki.
Maxim Malaysia memaklumkan bahawa syarikat itu akan terus memperluaskan program tanggungjawab sosial korporat CSR di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada inisiatif yang memberi kesan bermakna dan berpanjangan kepada masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Maxim E Hailing Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata pihaknya berharap program tersebut dapat membawa manfaat serta keberkatan kepada semua pihak yang terlibat.
“Kami berharap inisiatif ini memberi manfaat sebenar kepada komuniti. Maxim juga berharap dapat meneruskan kerjasama seperti ini pada masa akan datang bagi menyokong kesejahteraan masyarakat serta mengeratkan hubungan antara semua pihak,” katanya.
Program konvoi itu turut dilihat berjaya mengukuhkan kerjasama antara sektor ekonomi gig, institusi pendidikan dan komuniti masjid melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan secara bersama.
