Screenshot
KUALA LUMPUR, 24 Februari 2026 – Maxis Berhad meningkatkan pertahanannya terhadap penipuan digital dengan melaksanakan firewall rangkaian bersepadu berkuasa kecerdasan buatan AI bagi trafik panggilan dan SMS antarabangsa.
Sistem yang mula beroperasi sejak Januari 2026 itu menambah lapisan baharu kepada protokol keselamatan berbilang lapisan Maxis bagi memastikan pengalaman ketersambungan yang lebih selamat kepada pelanggan tanpa sebarang kos tambahan.
Perkhidmatan hujung ke hujung ini menyaring trafik SMS dan panggilan antarabangsa yang memasuki Malaysia untuk memastikan integritinya. Dikuasakan teknologi AI, sistem berkenaan menyediakan pemantauan sepanjang masa serta analisis trafik berterusan bagi mengesan dan meneutralkan ancaman dalam masa nyata sebelum ia sampai kepada pengguna.
Firewall tersebut direka untuk menyekat mesej SMS tidak diingini termasuk spam, mesej penipuan antarabangsa yang menyamar sebagai trafik tempatan serta trafik daripada saluran tidak rasmi. Langkah ini membantu melindungi pengguna daripada serangan siber yang lebih canggih dan penyalahgunaan ID pengirim palsu.
Selain itu, sistem berkenaan turut melindungi panggilan suara dengan menyukarkan penipu melakukan spoofing atau penyamaran nombor bagi menyembunyikan identiti sebenar mereka.
Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Yap Chee Sun berkata, usaha memperkukuh keselamatan rangkaian perlu dilakukan secara berterusan memandangkan taktik penipuan digital semakin kompleks.
Menurutnya, firewall berkuasa AI itu membolehkan Maxis menangani pelbagai ancaman yang sentiasa berkembang serta potensi risiko dengan lebih berkesan.
“Langkah ini mengukuhkan komitmen kami untuk menyediakan rangkaian yang pantas, boleh dipercayai dan selamat supaya pelanggan boleh kekal berhubung dengan lebih yakin,” katanya.
Pelaksanaan firewall berkenaan adalah tambahan kepada perlindungan rangkaian sedia ada Maxis. Sepanjang tahun 2025, syarikat itu berjaya memintas dan menyekat lebih daripada setengah bilion percubaan penipuan melalui panggilan dan SMS termasuk mesej yang mengandungi pautan berbahaya serta kata kunci penipuan.
Dalam masa sama, Maxis turut bekerjasama dengan pemain industri bagi memerangi penipuan digital. Sejak akhir Januari 2026, syarikat itu melaksanakan pemeriksaan spoofing antara pengendali bersama empat pengendali rangkaian mudah alih lain bagi mengesahkan nombor pemanggil secara langsung dengan pengendali masing masing.
Maxis juga terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan selaras dengan keutamaan keselamatan siber negara selain meningkatkan kesedaran pengguna mengenai taktik penipuan melalui saluran komunikasi pelanggan dan platform digitalnya.
